iklan

Jumaat, 14 Ogos 2009

RAHSIA KEJAYAAN GRADUAN BUTA.


Rahsia kejayaan graduan buta
Ahmad Arif Kamarruddin, dicium oleh ibunya, Norhalina Abdul dan bapanya Kamarruddin Asri, pada satu Majlis Konvokesyen UM 2009 di Dewan Tunku Canselor UM, semalam.

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Penat lelah terpaksa berusaha 10 kali ganda berbanding pelajar lain membolehkan graduan cacat penglihatan, Ahmad Arif Kamarruddin, 23, menggenggam segulung ijazah pada Konvokesyen Universiti Malaya (UM) di Dewan Tunku Canselor di sini hari ini.
Ahmad Arif yang terpaksa dibantu oleh sukarelawan ketika menerima ijazah daripada Pro-Canselor UM, Toh Puan Dr. Aishah Ong turut mendapat tepukan daripada graduan lain yang berada di dalam dewan itu.
Beliau yang merupakan graduan sarjana muda dalam jurusan Ekonomi dan Pentadbiran kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana bagi jurusan sama berkata, usaha yang dilakukannya ialah membuat rakaman kuliah, meminta sukarelawan membacakan nota dan maklumat tambahan sebelum mengingati semula segala yang didengari.
"Bagi melakukan urusan berkenaan, saya terpaksa mengorbankan masa tidur dan masa rehat yang ada," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sesi Keenam dan Ketujuh konvokesyen hari ini menyaksikan seramai 959 graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran serta Fakulti Sastera dan Sains Sosial menerima ijazah masing-masing.
Ahmad Arif menjelaskan, kekurangan itu juga menjadi kekuatan baginya untuk sentiasa berusaha sambil menerima bantuan daripada pensyarah, rakan-rakan serta sukarelawan.
"Saya sentiasa yakinkan diri dan sering menggandakan usaha sehingga 10 kali ganda berbanding pelajar lain walaupun kadang-kadang terasa letih.
"Yang penting saya tidak pernah berputus asa dan tabah dengan kekurangan ini (cacat penglihatan) kerana sokongan ibu bapa sentiasa mengiringi usaha saya," ujarnya.
Dalam pada itu, ibu graduan istimewa terbabit, Norhalina Abdul, 53, memberitahu, beliau dan suaminya, Kamarruddin Asri, 53, terharu dengan pencapaian anaknya.
Jelasnya, sikap berdikari yang diasuh kepada anaknya sejak kecil antara pendorong kejayaan Ahmad Arif hari ini.
"Kami sentiasa mengikuti perkembangannya, namun pada masa yang sama, kami membiarkan Ahmad Arif berdikari kerana tidak mahu dia bergantung kepada orang lain terutama selepas kami tiada," tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.